Sunday 24 May 2015

Alat Pendengaran (Alat Bantu Pendengaran/ Hearing Aids)

Adalah suatu alatan perubatan elektronik yang berfungsi untuk menguatkan bunyi. Ia terdiri daripada komponen speaker & mikrofon menjadi suatu alat yang kecil. Alat ini diperlukan oleh pesakit yang mempunyai masalah pendengaran untuk membantu mendengar dengan lebih baik.

Alat Elektronik?
Alat bantu pendengaran ini memerlukan bateri kecil (seperti bateri jam) untuk berfungsi. Terdapat 4 saiz bateri iaitu 10, 312, 13 & 675 mengikut jenis alat bantu pendengaran. Oleh itu, kualiti bunyi yang didengari oleh pesakit adalah tidak natural. Bunyi akan di tangkap oleh mikrofon dan melalui proses penukaran signal akustik kepada signal digital untuk diproses. Kemudian ditukar kembali kepada signal akustik untuk disalurkan ke telinga pesakit.
Perkara ini perlu jelas dan diterima oleh pesakit. Ini penting kerana kebanyakan pesakit menjangka alat bantu pendengaran ini dapat mengembalikan pendengaran mereka sepenuhnya. Biasanya audiologis akan menerangkan kelebihan & limitasi alat bantu pendengaran ini.


Tuesday 12 May 2015

Tahap Pendengaran

Tahap pendengaran adalah suatu ukuran masalah pendengaran seseorang. Pesakit akan diperiksa oleh Audiologis yang bertauliah pada frekuensi yang tertentu. Peralatan atau ujian audiologi yang berkaitan akan dibincangkan dalam entri akan datang. Kekuatan bunyi akan diukur dan akan diterjemahkan kepada tahap pendengaran. Unit yang digunakan ialah desibel (dBHL).


Berdasarkan gambar di atas, ianya dipecahkan kepada 5 tahap;
  1. Pendengaran Normal   -15dB hingga 20dB
  2. Tahap Ringan  >20dB hingga 40dB
  3. Tahap Sederhana   >40dB hingga 70dB
  4. Tahap Teruk    >70dB hingga 90dB
  5. Tahap Sangat Teruk   >90dB
Pendengaran Normal
Nilai -15dB hingga 20dB diambil dari populasi manusia yang mempunyai pendengaran normal. Seseorang itu dapat mengesan semua bunyi.

Tahap Ringan
Masalah pendengaran tahap ringan biasanya tidak diendahkan oleh pesakit sendiri kerana beliau tidak sedar tentang masalah ini, tetapi mereka sudah tidak dapat mendengar sebanyak 10-30%. Biasanya, pesakit tidak mendengar bunyi-bunyi yang perlahan seperti;
  • berbisik
  • air yang mengalir
  • daun-daun
Bagi pesakit dewasa, mereka akan mengalami kesukaran memahami pertuturan di dalam keadaan bising atau dalam suasana ramai orang yang bercakap serentak.

Bagi bayi dan kanak-kanak pula, masalah lambat bercakap atau pertuturan pelat akan berlaku.

Tahap Sederhana
Tahap ini menunjukkan pesakit sudah tidak dapat mendengar 40- 50%. Masalah utama mereka adalah untuk memahami percakapan dalam keadaan bising. Ini adalah kerana kebanyakan nada pertuturan harian kita berada dalam lingkungan 40-70dB(A) dan ini berada dalam lingkungan masalah pendengaran tahap sederhana.
Tetapi, pesakit tidak mengalami apa-apa masalah jika mendengar pertuturan dalam keadaan senyap dan suasana tidak bising.
Mereka juga akan cenderung untuk menaikkan volume televisyen atau radio kerana berasa tidak puas untuk mendengar.
Selain itu, mereka juga akan meminta mengulang kembali soalan semasa berkomunikasi dengan orang lain.

Kesan kepada kanak-kanak pula mereka akan lambat bercakap dan pelat.

Tahap Teruk
Kebanyakan pesakit akan berjumpa doktor apabila sudah mencapai tahap ini. Ini kerana mereka sudah tidak mendengar sehingga 70-80%.
Pesakit tidak dapat mendengar bunyi pertuturan walaupun dalam suasana senyap. Keadaan ini memaksa orang sekeliling meninggikan suara untuk berkomunikasi dengan pesakit.
Pesakit hanya mendengar bunyi-bunyi kuat sahaja seperti deringan telefon, kapal terbang dan lori.

Kesan terhadap bayi dan kanak-kanak adalah mereka tidak boleh bercakap.

Tahap Sangat Teruk
Masyarakat kita melabelkan tahap ini sebagai "pekak badak". Pesakit tidak mendengar sehingga 90% dan hanya bergantung pada 10% baki pendengaran sahaja.
Pesakit hanya dapat mendengar bunyi-bunyi yang sangat kuat sahaja seperti bunyi siren, drill dan kapal terbang.

Kesan terhadap kanak-kanak adalah mereka tidak boleh bercakap.

Kesimpulan
Setiap tahap pendengaran menunjukkan tahap keupayaan pendengaran yang berbeza. Walaupun pesakit mempunyai masalah pendengaran ringan, mereka sepatutnya berjumpa dengan audiologis atau doktor pakar ENT untuk mengetahui punca dan akibat masalah mereka.
Pemakaian alat bantu pendengaran juga perlu walau tahap pendengaran mereka adalah ringan sahaja. Ini penting untuk memastikan fungsi saraf pendengaran sentiasa dirangsang.